Bajet 2012: AMEERAH mohon jaminan hak generasi wanita muda


KUALA LUMPUR – Menjelang pembentangan Bajet 2012 yang akan dibentangkan YAB Perdana Menteri Jumaat ini, sebuah entiti baru politik Muslimat muda di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS), AMEERAH memohon agar diberi jaminan berkenaan hak dan peluang generasi wanita muda.
Pengerusi AMEERAH, Fareedah Samad mengetengahkan beberapa usul agar diperhalusi dan dimasukkan dalam bajet yang bakal dibentangkan.
1. Memberikan bantuan kepada generasi muda untuk mendirikan rumah tangga yakni kursus perkahwinan percuma.
2. Memberi galakan kepada belia dan wanita muda berniaga dengan sewa minimum atau hanya perlu membayar air dan elektrik untuk dua tahun pertama.
3. Melaksanakan kadar pengurangan faedah PTPTN (sistem ujrah) kepada semua peminjam PTPTN tanpa perlu membuat permohonan semula.
4. Memberi Kursus Bimbingan Perniagaan percuma kepada usahawan muda sama ada peniaga industri mahupun perniagaan secara dalam talian.
5. Memberi bantuan susu percuma kepada keluarga di bawah pendapatan RM1500.
6. Memastikan setiap institusi kerajaan mempunyai pusat penjagaan kanak-kanak
7. Menguatkuasakan polisi pusat penjagaan kanak-kanak bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin.
8. Memberi 90 hari cuti bersalin dan sebulan cuti kepada wanita yang kematian suami.
Dengan keinsafan bahawa setiap ringgit harta rakyat perlu diurus dengan cermat dan berhemat, AMEERAH memohon agar kerajaan memberi jaminan terhadap lapan tuntutan yang dinyatakan di atas. AMEERAH juga menggesa agar pihak kerajaan sentiasa mendahulukan dan mengambil berat tentang kebajikan warga Malaysia secara keseluruhannya tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
AMEERAH yang bermotokan “Menerajui Perubahan Generasi Baru” memberi perhatian untuk menggiatkan kesedaran politik dalam kalangan generasi muda wanita, menanamkan semangat patriotisme kepada negara dan meningkatkan partisipasi generasi wanita muda dalam membangunkan masyarakat.
AMERAH baru sahaja dilancarkan bersempena 60 tahun PAS pada 1 Oktober 2011 di Pulau Pinang.

Sumber: http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/nasional/1245-ameerah-mohon-jaminan-hak-generasi-wanita-muda

0 comments:

Post a Comment